PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima Perakuan Mahkamah di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengenai pembatalan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang diadakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu berikutan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR sehingga tamat tempoh rayuan semalam seperti mana yang ditetapkan oleh Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Menurutnya, sehubungan itu, pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada Isnin depan.
“SPR akan mengisi kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan SPR iaitu hari ini selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR akan mengadakan mensyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya di kawasan tersebut dan tarikh mesyuarat akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah berikutan terbukti berlaku amalan rasuah dengan pengetahuan dan persetujuan Ahli Parlimennya, Datuk C. Sivarraajh dalam PRU-14 iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.
Pada PRU-14 yang lalu, Sivarraajh yang juga Ketua Pemuda MIC memenangi saingan lima penjuru di kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M. Manogaran dari PKR (9,710 undi), Wan Mahadir Wan Mahmud daripada Pas (3,587 undi), Mohd. Tahir Kassim daripada Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada PSM (680 undi). – K! ONLINE











