TASEK GELUGOR 15 Dis. – Datuk Shabudin Yahaya yang bertindak keluar daripada UMNO semalam dicabar mengosongkan kerusi Parlimen Tasek Gelugor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) demi memberi keadilan kepada pengundi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Shabudin berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan menerusi tiket UMNO, bukannya atas kapasiti peribadi.
“Kita amat kesal dengan tindakan Shabudin yang telah mengkhianati pengundi di kawasan Parlimen Tasek Gelugor.
“Kita cabar Shabudin letak jawatan sebagai ahli Parlimen, Shabudin telah mendapat pelbagai manfaat seperti elaun ahli Parlimen menerusi kerja keras jentera UMNO tetapi di mana jati diri beliau sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Shabudin mengumumkan keluar daripada UMNO namun tidak menjelaskan hala tuju beliau selepas keluar daripada parti itu. – UTUSAN ONLINE










