KUANTAN 14 Dis. – Isu penerimaan bekas pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH) pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pakatan itu.
Sehubungan itu menurut Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, beliau yakin apa yang berlaku berada dalam pengetahuan kepemimpinan setiap parti dalam pakatan.
“Saya yakin mereka ada kebijaksanaan untuk menangani isu seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Karang di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, penerimaan bekas pemimpin UMNO ke dalam PH ketika ini akan dilihat sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang mahukan perubahan sebenar dan bukan sekadar bersifat kosmetik.
Katanya, isu berkenaan bukan bermakna sama ada pemimpin UMNO itu layak atau tidak untuk menjadi sebahagian daripada PH tetapi bagaimana tindakan lompat parti tersebut akan memberi kesan terhadap komitmen pakatan yang mahu membawa pembaharuan dan perubahan kepada negara.
Saifuddin yang juga Menteri Luar bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang isu berkenaan dan menyerahkannya kepada pucuk kepemimpinan PH untuk membuat perbincangan lanjut dalam Majlis Presiden.











