KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kedudukan blok konkrit yang tergantung di tapak projek Transit Aliran Massa (MRT) di Taman Equine, Seri Kembangan di sini mematuhi tahap keselamatan yang ketat dan selamat seperti ditetapkan oleh prosedur operasi standard (SOP).
MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia memaklumkan penggantungan blok landasan MRT atau Segmental Box Girders (SBG) itu selamat kepada pemandu yang melalui laluan bawah projek berkenaan.
“Konkrit tersebut digantung menggunakan bar keluli dan dibalut tanpa risiko sebarang sepihan kecil jatuh di atas jalan. Kerja-kerja pemasangan SBG pula dijalankan pada waktu malam selepas penutupan jalan.
“Pengguna tidak perlu bimbang kerana landasan itu telah diuji sebelum berada
di lokasi dan mendapat persijilan keselamatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),” kata kenyataan tersebut.
Gambar blok konkrit berkenaan yang dikongsi oleh nitizen dalam laman Facebook baru-baru ini tular selepas mencetuskan rasa tidak selamat pengguna jalan raya di kawasan tapak projek berkenaan.
Perkongsian itu mendapat komen dan kecaman orang ramai yang bimbang blok-blok konkrit tergantung di kawasan persimpangan lampu isyarat itu jatuh dan menghempap pengguna jalan raya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati landasan MRT dari Taman Pinggiran Putra menuju ke pasar raya Aeon Taman Equine mendapati blok landasan masih dalam keadaan tergantung dan tidak diketahui sejauh mana kekuatan sistem sokongannya.
Bagaimanapun, sepanjang berada di sekitar tapak projek dari pukul 9 pagi hingga 3 petang tadi, kerja-kerja penyambungan blok berkenaan didapati tidak berjalan.
Penduduk, Nurul Hassan, 28, berharap pihak MRT memastikan keselamatan orang ramai yang melalui kawasan yang kerap sesak itu betul-betul selamat.
“MRT perlu letak papan pemberitahuan untuk memaklumkan pemasangan blok berapa dalam keadaan selamat agar penduduk tidak bimbang untuk melalui jalan di bawahnya,’’ katanya.
Kakitangan swasta, Kamarul Naim Ishak, 42, pula berkata, walaupun kerja-kerja pembinaan di kawasan ini mengikut SOP tetapi ia tetap nampak tidak selamat dan blok berkenaan tidak sepatutnya dibiar tergantung dalam tempoh yang lama.
Dalam kejadian 27 Februari 2015, seorang buruh warga Bangladesh maut sementara rakannya cedera parah selepas dihempap besi tetulang projek di tapak projek MRT Portal Semantan berhampiran Jalan Mahameru.
Manakala pada 18 Ogos 2014, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas dihempap blok konkrit lebih 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), Kota Damansara. – UTUSAN ONLINE











