Kakitangan campak air zamzam digantung tugas - Utusan Malaysia

Kakitangan campak air zamzam digantung tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kakitangan Pos Aviation, anak syarikat di bawah Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang dikenal pasti bertindak mencampakkan kotak mengandungi air zamzam milik jemaah umrah baru-baru ini digantung tugas serta-merta selepas video tersebut tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan kelmarin berkata, siasatan awal mendapati punca utama insiden tersebut adalah disebabkan kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi dan perlakuan itu sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut.

“Bagaimanapun, kakita­ngan tersebut telah digantung tugas dan kami memohon maaf di atas kejadian yang disifatkan terpencil itu,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihaknya amat mengambil berat tentang pengendalian barangan pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.

“Pos Aviation bertekad untuk memastikan kualiti perkhidmatan kami berada pada tahap tertinggi dari segi kerja, etika profesional dan khidmat pelanggan yang dituntut dalam ­industri,” ujar kenyataan tersebut.

Kosmo! semalam me­laporkan satu klip video memaparkan kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang melemparkan kotak air zamzam milik jemaah umrah yang baru pulang dari tanah suci tular dan menimbulkan kekecohan di media sosial sejak Selasa lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×