KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Kelantan melahirkan rasa terkilan susulan pengumuman keluar parti yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keputusan tersebut bagaimanapun tidak melunturkan semangat Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk terus berjuang menegakkan panji-panji UMNO.
“Perjuangan untuk Melayu dan Islam adalah perjuangan UMNO sejak dahulu, kini dan selamanya serta tiada parti lain yang mampu menandinginya.
“UMNO berdepan cabaran paling besar dalam perjuangan apabila kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan kehilangan kuasa sehingga menyulitkan kepemimpinan tetapi saya percaya dugaan tersebut akan memberikan hikmah yang besar untuk kembali bangkit daripada kekalahan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ahmad Jazlan memberitahu, beliau serta ahli UMNO lain tidak terlintas mahu keluar parti tetapi sebaliknya memohon ahli-ahli UMNO khususnya di negeri tersebut supaya bertenang dan bersabar menghadapi cabaran itu.
“Tidak terlintas untuk keluar daripada parti malah kami berusaha merapatkan hubungan bersama-sama pemimpin dan ahli UMNO lain bagi meneruskan perjuangan suci ini.
“Buat masa ini, semua ahli diminta bertenang dan yakinlah masa depan UMNO masih cerah. Kita akan kembali bangkit dan mentadbir negara ini untuk meneruskan agenda membangunkan negara,” jelasnya.
Ahmad Jazlan menegaskan beliau dan ahli-ahli parti di negeri tersebut tidak berhasrat untuk keluar daripada UMNO walaupun beberapa Ahli Parlimen lain memilih untuk meninggalkan parti itu. – K! ONLINE











