KUALA LUMPUR 14 Dis. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan kerjasama Koperasi Pemandu serta pengusaha Teksi Limosin dan Kereta Sewa Selangor Berhad bakal melancarkan platform e-hailing yang dikenali sebagai Callme.
Platform tersebut dibangunkan bagi membantu koperasi dan pengusaha teksi seluruh negara yang menghadapi saingan daripada syarikat antarabangsa bermodal besar.
Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris berkata, perkhidmatan tersebut membolehkan pengguna membayar tambang secara tunai atau kad kredit.

“Kaedah pembayaran yang sama seperti perkhidmatan e-hailing yang lain mewujudkan persaingan sihat.
“Buat masa ini perkhidmatan Callme hanya tertumpu di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bakal diperkenalkan ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dari segi undang-undang, perkhidmatan e-hailing itu masih mengekalkan peraturan di bawah seliaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Setiap pemandu Callme perlu mengambil lesen serta latihan seperti pemandu-pemandu lain tanpa berkecuali.
“Ini merupakan inisiatif kami untuk membantu pengusaha teksi konvensional dalam menambah nilai perkhidmatan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pelancaran Callme akan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Balai Ketibaan, Bangunan Terminal KLIA, esok.










