GUA MUSANG 14 Dis. – Seramai 73 keluarga Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Aring 5, di sini terputus hubungan apabila sebuah jambatan besi yang menjadi penghubung untuk ke bandar ini mulai tenggelam akibat hujan lebat berterusan hari ini.
Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, setiap tahun jambatan yang merintangi Sungai Chuan itu akan tenggelam sekiranya hujan lebat.
Katanya, jambatan tersebut mula dinaiki air sejak pukul 7 pagi ini apabila kawasan perkampungan mereka dilanda hujan sejak dua hari lalu.
“Penduduk kampung ini sudah lali dengan masalah itu kerana setiap tahun jambatan ini pasti akan tenggelam.
“Ketika ini, penduduk sudah tidak berani untuk keluar ke bandar kerana air sungai dilihat sudah semakin meningkat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Fazli Mamok, 32, berkata, paras air Sungai Aring dijangka meningkat sekiranya hujan masih lagi turun.
Katanya, penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan rendah sudah bersiap sedia berpindah sekiranya air terus naik.
“Penduduk kampung biasanya lebih selesa berpindah ke pondok atas bukit untuk tinggal dengan keluarga berbanding tinggal di pusat pemindahan sementara ketika berlaku banjir
“Kita juga tidak dapat menjangka bila waktunya air yang melintasi jambatan itu akan surut sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











