Kerajaan bergantung kepada sektor pertumbuhan tinggi untuk rangsang ekonomi - Utusan Malaysia

Kerajaan bergantung kepada sektor pertumbuhan tinggi untuk rangsang ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengharapkan firma tempatan yang terlibat dalam sektor pembangunan pesat seperti pembangunan perisian untuk merangsang ekonomi negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.

Malaysia mempunyai banyak syarikat pertumbuhan tinggi dalam sektor yang pesat membangun dan kerajaan berminat untuk memanfaatkan syarikat terbabit, katanya.

“Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan adalah untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana dengan mengukuhkan keupayaan dan membantu perniagaan mereka menjadi firma pertumbuhan tinggi,” kata Redzuan kepada pemberita di luar pelancaran laporan Bank Dunia berjudul ” Firma Pertumbuhan Tinggi: Fakta, Fiksyen dan Pilihan Dasar untuk Ekonomi Berkembang” di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Negara untuk Malaysia Bank Dunia, Firas Raad berkata, dasar keusahawanan perlu dioreintasi semula bagi mengukuhkan kualiti pertumbuhan dan produktiviti.

“Kebarangkalian pertumbuhan tinggi dikaitkan dengan keupayaan firma yang diwujudkan dalam inovasi, hubungan luar, kemahiran dan pengalaman pengurusan serta dengan rangkaian, aglomerasi dan akses kewangan,” katanya.

Menurut laporan itu, firma pertumbuhan tinggi menyumbang kepada penciptaan sebahagian besar pekerjaan dan output, yang menjadikan mereka sasaran yang menarik untuk pembuat dasar yang berminat untuk merangsang prestasi ekonomi.

Ia juga menyatakan bahawa firma pertumbuhan tinggi hanya terdiri daripada tiga hingga 20 peratus firma tetapi menyumbang 50 peratus atau lebih kepada penciptaan pekerjaan dan output. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×