PUTRAJAYA 14 Dis. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengumumkan pelantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Ke-13 berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Yadim dalam satu kenyataan turut memaklumkan pelantikan seorang lagi tokoh pendakwah bebas, Zolkharnain Abidin sebagai Timbalan Yang Dipertua berkuat kuasa dari tarikh sama.
“Pelantikan mereka adalah berdasarkan Klausa 7(a) Perlembagaan Yadim yang menyatakan bahawa semua pelantikan Yang Dipertua Yadim dan Timbalan Yang Dipertua Yadim adalah di bawah keputusan Perdana Menteri.
“Kedua-dua mereka akan memegang jawatan berkenaan selama tempoh dua tahun,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Menurut Yadim, pelantikan Nik Omar adalah bagi menggantikan Dr. Yusri Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Oktober, manakala Zolkharnain menggantikan Mohd. Zaidi Ramli yang bertukar ke Jabatan Agama Negeri Sembilan.
“Dengan pelantikan itu, Ustaz Nik Omar kini menjadi Yang Dipertua Yadim ke-13 sejak penubuhan badan dakwah ini pada 1974,” jelasnya.
Yadim adalah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.
Yadim ditubuhkan sebagai sebuah badan yang bertindak bagi menyelaras aktiviti serta program dakwah yang pelbagai di negara ini. – UTUSAN ONLINE











