KUALA LUMPUR 14 Dis.- Tiga sahabat dari Puchong, di sini sanggup untuk hanya menaiki kereta ke Hanoi semata-mata bagi memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan yang akan bertemu Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 pusingan kedua, esok.
Menurut blog milosuam.net, kesemua mereka iaitu Amirul Amin, Mohd. Fitri dan Leng Chai Gulong (nama di akaun Facebook) difahamkan memilih berkereta ke Hanoi kerana tidak mampu membayar harga tiket penerbangan terus ke negara itu yang dirasakan mahal.
Difahamkan juga, perjalanan mereka dari ibu negara bermula pada pukul 6 petang semalam dan menuju Bukit Kayu HiTam, Kedah dan seterusnya melepasi sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 11.30 malam.
Mereka kemudiannya berehat di Phattalung sebelum meneruskan perjalanan.
Namun begitu, ekoran kekangan masa serta perlu mendapatkan visa untuk memasuki Laos sebelum ke Vietnam, ketiga-tiga sahabat tersebut mengambil keputusan untuk menaiki pesawat dari Bangkok, Thailand menuju ke Hanoi.
Menurut laporan blog itu lagi, kesemua mereka telah tiba di Prachuap Khiri Khan dan dijangka akan bermalam di hotel berdekatan Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok hari ini sebelum mengambil penerbangan ke Hanoi pada keesokkan hari.
Malaysia dan Vietnam terikat 2-2 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa lalu.
Skuad kebangsaan dijangka berdepan tugas sukar untuk perlawanan akhir kedua nanti di mana Vietnam pastinya mempunyai kelebihan dibantu sokongan kira-kira 40,000 penonton setia mereka di Stadium My Dinh, Hanoi. – UTUSAN ONLINE











