IPOH 14 Dis. – Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan segera dalam masa terdekat ini kepada penoreh getah, peneroka Felda, petani dan nelayan yang berhadapan kesusahan sewaktu musim tengkujuh.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Kabinet telah bersetuju membincangkan perkara itu Rabu lepas selepas menerima beberapa laporan daripada akar umbi mengenainya.
“Jaminan ini diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sama ada kita buat pinjaman atau pun kita mengutamakan peruntukan-peruntukan yang boleh kita dahulukan dalam tempoh terdekat.
“Ini langkah kerajaan untuk kita menangani beberapa isu yang melibatkan kesusahan rakyat mutakhir ini. Jumlah itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan dengan pejabat menteri,” katanya.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











