Tiada pertindihan tugasan jika MTSB ditubuhkan - Utusan Malaysia

Tiada pertindihan tugasan jika MTSB ditubuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan tugasan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (pindaan) 2018 untuk mencadangkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) diluluskan di Parlimen pada tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MTSB merupakan sebuah badan yang menyiasat punca kemalangan semua mod pengangkutan di negara ini dan tidak menggangu siasatan yang melibatkan pihak lain.

Jelasnya, penubuhan agensi itu juga membantu mencari punca kemalangan yang lebih komprehensif selain mampu menambah kualiti siasatan.

“Meskipun MTSB merupakan sebuah agensi baharu, penubuhannya tidak melibatkan peruntukan yang besar sekali gus tidak memberi bebanan kepada kerajaan.

“Selain itu, kita juga melakukan penstrukturan semula tugasan agensi kerajaan sekiranya draf penubuhan MTSB diluluskan di Parlimen yang dijangka akan dibentangkan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Dr. Mohd Fozi Ali, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid, Ketua Pengarah Miros, Dr. Siti Zaharah Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan, kerajaan akan menubuhkan MTSB tahun depan bagi menyiasat kes-kes kemalangan jalan raya di negara ini.

Penubuhan lembaga itu merupakan antara cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas diwujudkan oleh kementerian, bagi keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan jalan di seluruh negara.

Draf akta bagi penubuhan lembaga itu sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×