Penoreh tagih bantuan musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Penoreh tagih bantuan musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 13 Dis. – Harga getah yang terus merudum mengundang kerisauan kepada pasangan suami isteri yang bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil komoditi berkenaan di Kampung Lonek di sini.

Musim tengkujuh ketika ini turut memburukkan lagi hidup Norlili Mohd. Yassin, 57, dan suami, Abdullah Ab. Rahman, 59, kerana tidak dapat keluar menoreh, kadangkala berlarutan sehingga beberapa hari.

Menurut Norlili, harga getah pada masa ini cukup rendah iaitu sekitar RM1.90 sekilogram dan tidak ada tanda-tanda ia akan meningkat semula ke paras harga yang melegakan penoreh.

“Kadangkala rasa penat saja pergi menoreh getah sebab harga jatuh dengan teruk. Tetapi disebabkan mahu mencari rezeki untuk menanggung dua orang anak, saya dan suami gagahkan juga keluar awal pagi ke kebun getah.

“Harga barangan pula naik, semakin mahal. Kalau hujan memang tak ada pendapatan kami pada hari tersebut,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Norlili berkata, sebelum ini penoreh getah sepertinya mendapat Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 sebulan daripada kerajaan bagi meringankan beban mereka.

“Tahun lepas saya dapat pada bulan November, Disember dan juga Januari lalu. Nampaknya tahun ini tidak ada lagi elaun yang membantu golongan seperti kami,” katanya.

Ujarnya, dia dan suami mengambil upah menoreh getah di tanah milik penduduk kampung seluas 0.6 hektar dan hasilnya terpaksa dibahagi dua.

“Sekarang ini seminggu boleh dapat RM100. Sebulan baru empat RM400, sudah tentu tak cukup untuk menampung hidup saya dan suami serta dua orang anak.

“Anak-anak semakin dewasa dan mereka perlukan wang untuk membeli buku dan belanja sekolah. Malangnya sumber pendapatan kami terjejas de­ngan teruk,” katanya yang menanam sayur-sayuran bagi menambah pendapatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×