Dakwaan sesetengah pihak bahawa penggunaan bahasa Inggeris yang boleh memudaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, sebagai pemikiran yang masih terperangkap dengan penjajahan walaupun sudah lama merdeka, memerlukan penelitian rapi untuk memastikan kebenarannya. Dengan kata lain, ia yang ada kaitan rapat dengan sikap tertentu tentang kehebatan penjajah yang sukar diubah itu perlu dikenal pasti sejitu-jitunya.
Dari satu segi, pemikiran begini tidak dapat dinafikan masih wujud di negara ini. Ia kini tidak semestinya berupa pemikiran penjajahan dan boleh sahaja bersifat anglofil, iaitu penyanjungan apa-apa sahaja yang bersifat British termasuklah bahasa dan budaya Inggeris oleh mereka yang bukan pun berbangsa Inggeris. Hal ini dapat dilihat pada sesetengah bantahan daripada mereka ini terhadap langkah kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di dalam mahupun di luar negara.
Dari satu segi lain, ia merupakan pemikiran pragmatik, yakni penggunaan bahasa Inggeris untuk sesetengah perkara pada masa ini adalah bukan sahaja cara praktikal tetapi bernas. Sehubungan pemikiran begini, sebuah universiti awam yang bermula pada 1956 untuk khususnya membantu pelajar Melayu luar bandar, yang kini berkembang pesat menjadi institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia dari segi prasarana, tenaga pendidik dan pelajar telah lama menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Ia sama ada di kampus induk atau puluhan cawangannya sudah lama menggunakan bahasa Inggeris dalam menawarkan ratusan program pengajian kepada enrolmen yang hanya terdiri daripada pelajar Melayu serta anak negeri Sabah dan natif Sarawak.
Apabila dipertikai penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di universiti awam ini, ia dipertahan dengan agresif sekali oleh pengagasnya, tenaga akademik dan juga bekas pelajarnya. Ini kerana bahasa Inggeris didapati bukan sahaja amat bestari dalam menimba ilmu untuk menjadi profesional, lebih penting lagi ia sangat membantu dalam mengembangkan kerjaya lepasan universiti awam ini.
Oleh itu, bahasa Inggeris dipertahan penggunaannya di universiti awam ini kerana amat diyakini sebagai prasyarat ulung untuk bukan sahaja kejayaan tetapi kecemerlangan kepada banyak peluang nanti dalam kehidupan di luar kampus. Sehubungan ini, tidak dapat disangkal bahawa lepasan universiti ini rata-ratanya didapati memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik daripada lepasan universiti awam lain yang ditegah daripada menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar utama, apatah lagi secara tunggal. Selain ini, nilai kebolehpasaran mereka juga didapati lebih tinggi.
Universiti awam ini yang didapati semenjak sekian lama sudah menggunakan bahasa Inggeris bukan sahaja melatih dan memandukan pelajarnya dalam bidang pendidikan, perniagaan dan perusahaan, ia juga berjaya menghasilkan jutaan lepasannya yang telah berjaya mengeluarkan keluarga masing-masing daripada kepompong kemiskinan. Inilah kejayaan universiti awam ini yang bukan sahaja terus-terusan tetapi mati-matian mempertahan penggunaan bahasa Inggeris.
Adakah penggunaan bahasa Inggeris di universiti awam ini yang amat nasional sifatnya satu kes bahawa sesetengah daripada kita, waima etnik Melayu sendiri masih terjerat dengan sikap mengagung-agungkan penjajah Inggeris? Ya mengikut dakwaan itu. Sebaliknya tidak apabila dilihat itulah cara paling praktikal, yakni penggunaan bahasa Inggeris ada kaitan dengan realiti, ia bakal membuahkan hasil lumayan selain munasabah dan penting.
Tidak dapat dinafikan penggunaan bahasa Inggeris di universiti awam ini sebagai institusi pendidikan tinggi terbesar dan enrolmennya yang begitu eksklusif telah mencalarkan citra bahasa Melayu selaku bahasa negara. Ia dengan status kenegaraan yang sedemikian istimewa sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya seperti yang disyaratkan kepada universiti awam lain. Dalam hal ini apa-apa jua alasannya, ia jelas memperlihat bahawa kita khususnya etnik Melayu sendiri selaku penutur jati masih tidak yakin sepenuhnya kepada kemampuan bahasa mereka sendiri untuk memandaikan anak bangsa sendiri dan membangunkan negara yang mereka sendiri terajui.
Dalam pada ini, agak ironi dalam usaha gigih kita memartabatkan bahasa Melayu, kita terlepas pandang, gagal mengenal pasti atau sengaja mengelak daripada berbicara tentang satu persoalan penting yang memang menghadang sifatnya. Ia tidak lain tidak bukan kewujudan sebuah universiti awam dominan watan asal yang langsung tidak mahu menggunakan bahasa watan sendiri sebagai bahasa ilmu walaupun ia memang berkeupayaan. Ini bukan sahaja tidak konsisten langsung tetapi bertentangan sekali dengan usaha tekun itu.
Sebenarnya bahasa Melayu yang mula dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum merdeka lagi daripada sebuah vernakular dan kini sudah bertaraf bahasa ilmu adalah lebih daripada mampu untuk mengendalikan pendidikan tinggi dalam apa-apa jua bidang ilmu dengan jayanya di mana-mana sahaja, apatah lagi di tanah watannya sendiri. Ia yang diguna pakai selama ini di universiti awam lain telah memperlihat kejayaannya sebagai bahasa ilmu tinggi. Sehubungan ini, ia juga pasti akan menjayakan universiti awam ini. Dengan adanya kekecualian kontradiktori ini, langkah pemartabatan bahasa Melayu dengan hukuman yang dicadangkan itu, bukan sahaja didapati meleset, ia juga bertentangan dengan semangat patriotisme yang mahu dikaitkan dengan denda dan pemenjaraan itu, lebih-lebih lagi oleh universiti yang memperjuang nasionalisme etnik watan asal.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











