BERTEMAKAN Building Bridges in Indo-Pacific, Dialog Delhi kali ke-12 berlangsung di New Delhi, India baru-baru ini. Menerusi dialog bertaraf antarabangsa ini, banyak idea dan cadangan dilontarkan oleh pelbagai pihak.
Antaranya, Malaysia sendiri yang menggesa obor hubungan antara ASEAN-India dinyalakan semula dalam usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan.
Persidangan ini diadakan selama dua hari berturut-turut, sempena menyambut ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India.
Antara objektif utama persidangan itu adalah untuk memupuk dan menyuburkan hubungan antara negara-negara anggota ASEAN dan India serta terus aktif dalam menghadapi persaingan khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.
Perutusan Khas bagi Negara India dan Asia Selatan, Tan Sri S.A. Vigneswaran diundang berucap dalam persidangan tersebut bagi mewakili Malaysia.
Beliau menyeru agar India melibatkan diri secara lebih aktif dengan ASEAN dan Malaysia memandangkan mereka merupakan rakan strategik selama 30 tahun.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan fokus diperluaskan ke kawasan Indo-Pasifik yang dilihat sebagai ‘lubuk emas.’
Dari segi geopolitik, rantau Indo-Pasifik merangkumi 38 negara yang mempunyai penduduk berjumlah 4.3 bilion.
Jumlah ini mewakili hampir 65 peratus daripada penduduk dunia dan menyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.
Menyedari kepentingan kawasan Indo-Pasifik terhadap ekonomi global malah penyumbang terbesar kepada ekonomi dunia, maka Amerika Syarikat (AS), sebuah negara terbesar ekonomi dunia melancarkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) pada tahun ini.
Menurut laporan ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP), Indo-Pasifik merupakan kawasan terbesar yang diduduki oleh golongan kelas pertengahan dan jumlah ini dijangka bertambah 2.4 bilion lagi menjelang 2030.
Maka, India seharusnya boleh menumpukan perhatian kepada kawasan Indo-Pasifik menjelang 2030 dalam usaha mendepani cabaran dan peluang perdagangan pada masa-masa akan datang.
Dalam menyambut ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India, Malaysia bukan sahaja berhasrat untuk merapatkan hubungan ekonomi dengan India, malah mahu memastikan rakyat kedua-dua negara mendapat manfaat daripada sebarang bentuk kerjasama ekonomi selaras dengan Pelan Tindakan ASEAN-India 2021-2025.
Dalam pada itu, Vigneswaran juga mendedahkan, meskipun India merupakan rakan strategik keenam terbesar ASEAN melibatkan perdagangan AS$65.7 bilion (RM290.8 bilion), perdagangan ASEAN dengan India didapati berada pada tahap kurang memuaskan.
Kadar ini rendah berbanding kadar perdagangan ASEAN dengan China, Korea Selatan, Jepun, AS dan Kesatuan Eropah (EU). Malah, kepentingan komuniti perdagangan AS dalam kawasan ASEAN didapati melebihi AS$182 bilion (RM805.6 bilion) pada 2019.
RAKYAT DENGAN RAKYAT
Sehubungan ini, Vigneswaran berpendapat sudah sampai masanya bukan sahaja memantapkan ekosistem perdagangan antara negara-negara berkaitan, malah perlu dikaji semula Perjanjian Perdagangan ASEAN-India bagi memantapkan lagi hubungan perdagangan antara India dan ASEAN.
Dalam pada itu, sambil Malaysia mengalu-alukan pengumuman 2022 sebagai Tahun Persahabatan ASEAN-India, juga disarankan hubungan antara rakyat dengan rakyat (people to people) dipertingkatkan.
Justeru, Vigneswaran yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan Yang Dipertua Dewan Negara mengesyorkan beberapa inisiatif untuk dipertimbangkan oleh pihak-pihak terlibat.
Beliau memberikan penekanan perlunya memberi keutamaan kepada agenda dan program melibatkan pembangunan rakyat. Ini bermakna rakyat Malaysia dan India harus menikmati manfaat daripada sebarang program yang dilaksanakan.
Beliau turut menyarankan hubungan baik bukan sahaja diperluaskan antara kerajaan kepada kerajaan tetapi juga antara komuniti perdagangan, akademik, media dan orang awam.
Untuk merealisasikan hasrat ini, beliau mengesyorkan penubuhan Gerbang Pusat Sehenti Maklumat ASEAN-India bagi menyediakan kemudahan maklumat serta sumber rujukan.
Dengan ini, hubungan dan jaringan kerjasama antara komuniti perdagangan sama ada besar atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat diwujudkan untuk mengembangkan sektor ekonomi.
Sebagai contoh, sebuah syarikat di kawasan luar bandar di India dapat menjalankan perdagangan atau perniagaan di mana-mana lokaliti dalam negara- negara yang menjadi anggota ASEAN.
Langkah ini akan membantu komuniti perniagaan dalam kategori PKS malah dapat mengatasi persaingan daripada syarikat-syarikat besar yang lebih berkuasa dan memonopoli dalam sesuatu bidang perdagangan dan perniagaan.
Syor kedua beliau agar ahli-ahli Parlimen selaku orang yang rapat dengan penduduk luar bandar harus digalakkan untuk memainkan peranan dalam memperkasakan komuniti PKS di negeri masing-masing.
Pada keseluruhannya, meskipun pandangan dan cadangan Vigneswaran dalam Dialog Delhi menyentuh tentang hubungan dua hala antara India dan ASEAN serta negara-negara Indo-Pasifik secara amnya, tumpuan beliau didapati lebih memfokuskan kepada aspek hubungan dan kerjasama antara rakyat dengan rakyat.
Malah, ucapan beliau jelas sekali menganjurkan langkah-langkah yang harus diambil untuk membela kepentingan dan pembangunan rakyat marhaen seperti terserlah dalam konsep Keluarga Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.











