PUCHONG – Seramai 20 wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan Bandar Puchong Jaya, di sini malam tadi.
Dalam serbuan yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut menahan dua lelaki Bangladesh yang menjadi pekerja am serta seorang dua lelaki warga tenpatan yang turut menjadi penjaga premis.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
Menurut Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Superintendan Azmi Syukor, pihaknya menahan seramai 20 wanita warga asing yang terdiri daripada 15 wanita warga Vietnam, Thailand (3), Indonesia (1) dan China (1).
“Premis ini juga pernah diserbu oleh polis pada 1 Jun lalu dan kita turut tahan seramai 20 GRO warga asing.
“Hasil semakan juga mendapati bahawa premis ini sudah beroperasi tanpa lesen sejak empat bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi menambah, pusat hiburan tersebut menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga sebanyak RM150 bagi menemani mereka selama tiga jam.
“Premis ini beroperasi setiap hari bermula pukul 5 petang hingga pukul 4 pagi.
“Pihak kami turut merampas pelbagai peralatan antaranya dua unit mikrofon, seunit pembesar suara dan wang tunai bernilai RM318,” ujarnya.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995. – K! ONLINE











