PADA 12 Jun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menarik perhatian dengan kenyataannya di dalam akhbar yang menekankan bahawa Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mendenda Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ini susulan daripada aduan rakyat mengenai bil terlampau tinggi TNB pada bulan lalu.
Kita tabik kepada kerajaan terutama Yang Berhormat Yeo Bee Yin. Kesungguhan beliau memastikan hak pengguna terbela pastinya mendapat sanjungan rakyat.
Tetapi apakah mendenda TNB memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, selain sentimen puas hati semoga syarikat utiliti itu tidak cuai lagi di masa mendatang?
Untuk tidak dilihat Merrepak cenderung kepada mana-mana pihak dalam kes ini melainkan rakyat, mari kita sama-sama menyelusuri fakta kes ini.

Fakta kes
Pada Mei 2019 bersamaan dengan bulan puasa, satu demi satu pernyataan marah, sakit hati bersama gambar bil elektrik mula terpampang dalam media sosial.
Sungutan berkisar kepada kenaikan mendadak antara RM150 hingga RM300 daripada bil biasa. Dalam tempoh kurang 24 jam, rungutan secara berjemaah ini dikesan TNB, yang kemudiannya bingkas membuat siasatan.
Rumusan awal ialah sememangnya wujud masalah teknikal di pihak TNB, selain faktor-faktor lain seperti cuaca panas sepanjang Mei yang meningkatkan penggunaan pendingin hawa dan juga suasana puasa, ramai yang memilih untuk duduk di rumah kebanyakan masa.
Faktor-faktor lain itu tidak dipandang oleh rakyat. Mereka fokus terhadap masalah teknikal yang disebut TNB. Dalam konteks ini, TNB mengakui wujud gangguan kepada sistemnya dari 15 Mei hingga 20 Mei, yang mengakibatkan ada pelanggan menerima bil yang tinggi.
Sebanyak 18,600 aduan diterima, dan sebanyak 15,000 kes atau 85 peratus telah diselesaikan oleh TNB. Kes-kes yang terlebih caj, lebihan wang akan dikreditkan kembali ke dalam akaun pelanggan terbabit.
Baki 3,500 kes lagi, memerlukan lebih tumpuan TNB termasuk menghantar pasukan ke rumah pelanggan untuk memeriksa meter dalam langkah mengenal pasti masalah sebenar.
“Kita perlu fahami apa isu sebenar dan macam mana nak memantau agar tidak berulang balik. Itu fokus saya,’’ kata Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.
Daripada pandangan udara pemerhati seperti Merrepak, tindak balas TNB dalam mengenal pasti masalah, berhubungan dengan orang ramai dan kemudiannya mengakui masalah teknikal pada sistemnya adalah pantas, telus dan jujur.
Tiada cubaan mengelak isu, menuding jari ke pihak lain, melengah-lengahkan kes. Ringkasnya, cara TNB menangani dan menguruskan krisis wajar dijadikan panduan kepada syarikat lain yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Kewajaran Denda
Kita tiada halangan untuk kerajaan mendenda sesiapa yang didapati cuai atau melanggar peraturan. Mungkin TNB bersalah terhadap kedua-dua tuduhan.
Tetapi apa yang berlaku dulu, masih juga berlaku sekarang. Menteri beri kenyataan seumpamanya, yang menyerupai arahan agar sesuatu entiti dikenakan tindakan.
Lebih sendu, ramai tidak mahu sedar bahawa Suruhanjaya Tenaga sebagai ‘sebuah suruhanjaya’ tidak tertakluk kepada arahan menteri, sebaliknya Parlimen.
Sebelum menjatuhkan hukuman denda, seharusnya ada proses sama seperti mahkamah iaitu TNB diberi peluang memberi penjelasan dan ST meneliti hujah-hujah yang dikemukakan.
Masalah teknikal sistem atau system malfunction, bukan gimik saja-saja dibuat untuk mempopularkan TNB. Itu bunuh diri, namanya. Kereta mewah BMW pun akan mati tepi jalan bila berlaku masalah teknikal.
Konsisten
Seperti dinyatakan di atas, jika denda itu dikira wajar oleh kerajaan, maka silalah denda TNB. Seandainya denda itu boleh ‘mengajar’ TNB supaya tidak cuai di masa mendatang, teruskanlah. Tetapi, kerajaan mestilah konsisten dalam hal denda. Tidak boleh kelihatan memilih.
Selain isu elektrik, rakyat tidak lupa bagaimana seksanya beberapa hari sebelum Ramadan bekalan air terputus lagi di Lembah Klang. Apakah ada sesiapa didenda? Sayang, pembekalan air tidak di bawah kuasa Yang Berhormat Bee Yin.
Tetapi ini bukan alasan yang rakyat boleh terima. Kalau mahu denda bab elektrik, kerajaan kena konsisten dengan mendenda juga entiti lain yang mengakibatkan rakyat derita. Ada perbezaankah antara elektrik dengan air?
Jika bab elektrik sahaja ditumpukan tetapi isu bekalan air tidak, rakyat akan bertanya: Apakah langkah mendenda TNB sememangnya dimahukan rakyat atau sekadar cubaan meraih markah politik semata-mata?
Sekarang berlaku balik kes pencemaran udara di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Masih segar dalam ingatan kita bagaimana kerajaan dikritik teruk kerana dilihat lambat bertindak memindahkan penduduk dan menunggu Perdana Menteri turun padang baharulah dilakukan pembersihan sungai.
Yang Berhormat Bee Yin kena beri tumpuan hal di Sungai Kim Kim dan ambil tindakan keras. Kena konsisten. Semua yang cuai dan langgar peraturan mesti didenda. Semua, tiada pengecualian!











