SHAH ALAM – Pelbagai gelagat ditunjukkan pendatang asing tanpa izin termasuk melarikan diri dengan bermain pelikat dan berkaki ayam sebaik rumah kongsi tapak pembinaan mereka di sekitar daerah ini diserbu Jabatan Imigresen hari ini.
Cubaan melarikan diri itu dilakukan selepas rata-rata mereka sedang tidur dalam serbuan selama dua jam bermula pukul 12.30 tengah malam.
Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan itu susulan aduan dan risikan pihaknya terhadap kebanjiran PATI di dua buah lokasi itu.
Katanya, operasi yang disertai dengan kekuatan 72 anggota termasuk pegawai telah memeriksa 265 warga asing.
“Hasil pemeriksaan menahan 142 PATI melibatkan terdiri warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia setahun hingga 52 tahun.
“Semakan awal mendapati mereka telah berada di negara ini sejak enam tahun lalu tanpa dokumen yang sah dan permit telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, kesemua PATI dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut sebelum ditahan di Depot Imigresen Semenyih.
Jelas Mohamad Shukri, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE











