4 ekor lembu berkeliaran ditangkap - Utusan Malaysia

4 ekor lembu berkeliaran ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menangkap empat ekor lembu yang berkeliaran di Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa dekat sini, semalam.

MDHS dalam satu kenyataan memaklumkan, Operasi Penangkapan Lembu dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan MDHS selepas menerima aduan orang awam berkaitan sekumpulan lembu yang membahayakan pengguna jalan raya di beberapa laluan utama.

“MDHS telah mengenal pasti beberapa lokasi dan akan mengambil tindakan denda kepada pemiliknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini tiga operasi telah dilakukan dan kami telah berjaya menangkap empat ekor lembu iaitu masing-masing dua ekor lembu jantan dan dua betina, semalam,” katanya.

MDHS mendapat kerjasama beberapa agensi lain antaranya Jabatan Veterinar, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kontraktor lantikan pihak berkuasa tempatan itu dalam operasi tersebut mengikut peruntukan Seksyen 4(1)(a), Enakmen Mengawal Lembu Kerbau Negeri Selangor 1971.

“Semua lembu yang ditangkap telah di bawa ke stor tahanan MDHS untuk tindakan selanjutnya selama 14 hari.

“Sebarang tuntutan hendaklah dibuat melalui permohonan bertulis kepada pihak MDHS dengan mengemukakan surat pengesahan pemilikan daripada Jabatan Veterinar atau membuat akuan bersumpah dan menjelaskan kos-kos yang ditetapkan oleh jabatan.

“Sekiranya tiada tuntutan diterima daripada mana-mana pihak, MDHS akan melupuskan kesemua lembu berkenaan melalui proses lelongan awam sebaik sahaja tempoh tahanan tamat,” katanya.

Tambah MDHS, bagi mengelakkan haiwan ternakan ditangkap pihak berkuasa tempatan, pemilik-pemilik lembu diingatkan sentiasa memastikan haiwan peliharaan tidak memasuki kawasan larangan iaitu di kawasan perumahan, perindustrian dan tempat-tempat awam.

Sementara itu, seorang anggota penguat kuasa MDHS cedera ditanduk lembu dalam operasi pada pukul 1 pagi, semalam dan kini dirawat di Hospital Kuala Kubu Bharu dekat sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini