KLUANG – Program Reformasi Peladang daerah Kluang yang berlangsung semalam dan hari ini mendapat sambutan dan penyertaan hampir 1,000 pengunjung di Persiaran Dato’ Haji Ismail Hassan di sini.
Program yang berlangsung dua hari ini menyediakan beberapa segmen dengan aktiviti menarik, santai serta ilmiah yang mendapat sokongan daripada kalangan ahli-ahli Peladang serta penduduk setempat dari pelbagai lapisan umur.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Muhamad Said Jonit yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota berkata, program ini melibatkan 10 segmen menarik yang disediakan bagi setiap lapisan umur iaitu Cerna Minda Tani, Agro Youth, Agro Kids, Agro Chef, Sihat Agro, Jualan untuk Kita, Ziarah Peladang, Nostalgia Desa, Juada Bonda dan Santai Malam.
“Kursus dan seminar yang diadakan dapat memberi pendedahan dan latihan secara teori dan praktikal kepada ahli-ahli Peladang dan juga penduduk setempat yang berminat untuk menerokai industri pertanian,” jelas beliau.
Beliau menambah, selain segmen ilmiah pendedahan mengenai pertanian, terdapat juga segmen riadah untuk kanak-kanak dan remaja dan juga segmen kesihatan yang memberi pendedahan berkaitan cara hidup sihat dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta syarikat-syarikat swasta.
Program Reformasi Peladang Daerah Kluang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman. – K! ONLINE











