Dahulukan penyelesaian hutang, bukan jawatan - Abu Bakar  - Utusan Malaysia

Dahulukan penyelesaian hutang, bukan jawatan – Abu Bakar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Desakan pihak tertentu yang mahukan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyegerakan peralihan kuasa tidak akan menyelesaikan masalah bebanan hutang yang ditanggung kerajaan ketika ini. 

Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya yang berpandangan bahawa tuntutan peralihan sedemikian hanya akan mewujudkan kekusutan dalam pentadbiran kerajaan dan dikhuatiri mencetuskan ketidakstabilan politik dalaman negara ini.

“Kerajaan pimpinan Dr. Mahathir ketika ini telah pun melaksanakan langkah-langkah penyelesaian hutang negara yang telah ditinggalkan pentadbiran kerajaan sebelum ini. Yang pastinya proses penyelesaian tersebut memerlukan masa dan tempoh tertentu untuk dibereskan kerana jumlahnya terlalu besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalannya, apakah kita mahu masalah negara ini diselesaikan segera atau hanya sekadar mahu memikirkan soal politik dan jawatan sahaja. Jika kita utamakan negara, maka sepatutnya ketepikanlah soal tuntut-menuntut, desak-mendesak berhubung isu peralihan kuasa ini dan jika ada peralihan pun, biarlah ia berjalan secara demokratik mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian sebagai mengulas laporan Dr. Mahathir menerusi portal berita, Astroawani.com semalam yang bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bila tiba masanya.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan sebelum ini untuk bekerja keras untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi negara.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri mahu semua pihak mengambil iktibar daripada Krisis Ekonomi Asia 1997/1998 yang mana kejayaan Malaysia menangani krisis itu hasil daripada komitmen secara kolektif di antara pihak kerajaan, swasta dan yang paling penting ialah sokongan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan termasuk kepimpinan negara pada waktu itu.

Terdahulu, Abu Bakar dan isteri, Datuk Junaidah Kiting meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seksyen 7, di sini malam semalam yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu. 

Pada masa sama, Abu Bakar memohon maaf kepada para pengguna jalan raya dan penduduk setempat ekoran kesesakan yang berlaku sepanjang majlis itu berlangsung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini