Rakyat perlu buka mata - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Rakyat perlu buka mata – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu membuka mata terhadap kemusnahan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus dibiarkan menerajui kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemajuan dan keharmonian yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional selama 62 tahun, kini di ambang yang cukup getir berikutan ketidakupayaan PH mentadbir negara.

“Anggaplah 9 Mei 2018 sebagai satu hikmah bagi menyedarkan kita mengenai kerakusan dan penipuan yang ditunjukkan oleh pihak yang selama ini cuma tamakkan kuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka kini terbelit dengan masalah survival politik, dan terpaksa memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kerajaan silam,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepong di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, banyak dasar PH tidak jelas dan sesetengahnya membebankan rakyat, antaranya perumahan di bandar, tol, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di Kepong, misalnya, kata Ahmad Zahid, dasar mengenai peniaga kecil, tapak niaga dan gerai Ramadan benar-benar menyusahkan rakyat.

“Rancangan persempadanan semula kawasan pilihan raya lebih memihak kepada bukan Melayu, dipercayai tuntutan sebuah parti dalam PH yang sejak dari dahulu bersifat rasis,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, kontrak sosial, fungsi Majlis Raja-Raja dan status Bahasa Kebangsaan makin dipersoalkan manakala hak rakyat yang dikecapi sebelum ini diperlekehkan.

“Melayu makin hilang suara. Puncanya kita berpecah, terlalu banyak parti. Sebab itulah kerjasama UMNO dan Pas digarap dan akan diperkasakan.

“Gerakan Penyatuan Ummah sudah memberi hasil termasuk di beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan kini mulai digeruni oleh Pakatan Harapan.

“Kerana itulah ada pihak yang mengata ia satu mengancam keselamatan negara. Sebenarnya, mereka gusar,” katanya.

Ahmad Zahid menekankan, sebab itulah Melayu perlu bersatu padu agar perjuangan menuntut hak didengari oleh semua, dan agar semua rakyat Malaysia kembali terbela. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini