KOTA BHARU – Badan Perhubungan UMNO Kelantan masih belum menerima saman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memulangkan semula wang-wang yang dikatakan mengalir keluar dari salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausahanya, Datuk Mohamad Noordin Awang berkata, pihaknya mengetahui tuntutan SPRM itu hanya melalui laporan yang dibuat oleh media.
“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa daripada SPRM, kita hanya tahu melalui berita televisyen sahaja.
“Kita tunggu dan lihat. Sekiranya saman itu diterima, saya akan bawa kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliay berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian di Dewan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya mengumumkan agensi itu telah memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.
Pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.
Menerusi tuntutan tersebut agensi itu mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO Kelantan. – UTUSAN ONLINE











