BATU KAWAN – Jabatan Kesihatan negeri menyerbu 55 premis yang disyaki menjual arak mengandungi metanol serta dijual secara haram menerusi operasi yang dijalankan sejak Mei lalu hingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, tujuh notis saman bernilai RM12,800 telah dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan dijalankan.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak 77 tin arak dan 20 botol arak pelbagai jenama yang disyaki diseludup secara haram ke negara ini telah dirampas.
“Arak-arak berkenaan didapati dijual di premis-premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia di sini hari ini.
Sebelum ini, enam lelaki termasuk dua warga tempatan dilaporkan maut akibat keracunan metanol selepas mengambil minuman keras dipercayai buatan sendiri dalam kejadian sejak April hingga 11 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa yang maut berusia sekitar 40-an dan terdiri daripada dua warga tempatan, tiga Myanmar dan seorang warga India.
Menurut Afif sebanyak 15 sampel arak pelbagai jenama juga telah diambil untuk diperiksa bagi mengesan kandungan arak tersebut sama ada ia mengandungi metanol atau tidak. – UTUSAN ONLINE











