KUALA LUMPUR – Perbincangan dengan semua pihak termasuk pihak majikan akan dilaksanakan bagi mendapatkan kata sepakat, susulan cadangan memperkenalkan cuti paterniti bagi swasta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengakui walaupun wujud bantahan daripada majikan, namun perbincangan dalam tempoh terdekat merupakan jalan terbaik sebelum membuat keputusan secara melulu.
“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan tetapi cuti bersalin ini, memang baik kalau dapat sebab negara kita akan datang sudah menjadi negara tua.
“Kita menggalakkan ramai dapatkan anak. Jadi cuti bersalin ini boleh dipertimbangkan tapi kita belum bincang terperinci (dengan semua pihak berkaitan),” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.
Draf itu seterusnya akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan. – UTUSAN ONLINE











