KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan isu penularan beberapa keping surat permohonan kewarganegaraan Malaysia melibatkan jabatan itu dan Pejabat Menteri Dalam Negeri merupakan prosedur biasa.
JPN dalam kenyataan memberitahu, pihaknya dan Pejabat Menteri Dalam Negeri menerima banyak surat permohonan kewarganegaraan serta pertanyaan berkenaan status terkini permohonan.
“Surat-surat yang tular dalam media sosial adalah merupakan prosedur biasa di JPN dan Pejabat Menteri Dalam Negeri di mana surat permohonan kewarganegaraan ini akan dipanjangkan kepada agensi dan bahagian yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
“JPN juga akan memberi maklum balas secara terus kepada pemohon mengenai status semasa permohonan kewarganegaraan mereka,” katanya hari ini.
JPN turut menegaskan permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima olehnya dan Pejabat Menteri Dalam Negeri bukan tertumpu kepada satu kaum sahaja, malah melibatkan pelbagai kaum.
Ujarnya, berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 Mei 2019 sebanyak 8,322 permohonan kewarganegaraan telah diterima daripada pelbagai latar belakang kaum dan daripadanya hanya lima permohonan dianugerahkan kewarganegaraan.
“Manakala untuk rekod bagi tempoh yang sama sejumlah 3,126 pemohon juga telah dianugerahkan kewarganegaraan yang mana permohonannya adalah dari tahun-tahun sebelumnya.
“Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di url www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected],” katanya. – UTUSAN ONLINE











