KUALA LUMPUR – Setiap syarikat yang menghantar pekerja untuk menyertai beberapa jenis latihan disediakan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) layak menerima dua kali potongan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2019 hingga 2023.
Menurut Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, perkara itu terlaksana selepas permohonan agensi berkenaan menjadi institut yang berada di bawah Skim Galakan Potongan Cukai Dua Kali mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu.
Oleh yang demikian, jelas Lam Thye, syarikat yang menghantar pekerja mereka untuk mengikuti latihan di NIOSH boleh mendapatkan faedah tersebut untuk perbelanjaan latihan termasuk kos yuran, pengangkutan, penginapan dan tuntutan perbelanjaan lain yang berkaitan selaras dengan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Untuk Latihan Yang Diluluskan) 1992.
“NIOSH amat berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia di atas inisiatif yang amat tepat pada masanya ini dan ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta majikan.
“Inisiatif ini akan dapat menggalakkan majikan memberi latihan kepada pekerja mereka di samping dapat mengurangkan beban majikan yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Lam Thye, kursus-kursus yang diluluskan untuk menikmati faedah tersebut adalah latihan bagi Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS), Juruteknik Higen Industri 1, Juruteknik Higen Industri 2 dan latihan untuk jurulatih.
“Majikan dan pekerja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi ibu pejabat NIOSH di talian 03-8769 2100,” katanya. – UTUSAN ONLINE











