KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan kongres agung luar biasa (EGM) akan diadakan pada 6 Julai ini bagi memenuhi hasrat ahli gabungan badan induk itu.
Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan menyegerakan proses itu diputuskan oleh barisan Exco dalam satu mesyuarat khas di sini hari ini.
“Kami barisan Exco Kafa mengambil ketetapan proses ini perlu disegera dalam usaha menyelamatkan bola sepak negeri ini.
“Apa yang ditunjukkan oleh barisan Exco Kafa ini cukup profesional dengan meletakkan kepentingan bola sepak Kelantan di hadapan dan kami mendokong penuh usaha itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Kafa, Chicha Tinggi di sini hari ini.
Utusan Malaysia 18 Jun lalu melaporkan, Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi hantaran laman sosial facebook miliknya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Kafa berbuatkuasa serta merta.
Afandi memberitahu, notis EGM itu akan mula diedarkan kepada persatuan bola sepak jajahan (PBJ) bermula esok.
Katanya, tarikh tutup pencalonan pada 30 Jun sebelum pukul 12 tengah hari.
“Pemilihan kali ini membabitkan semua jawatan bermula dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden (tiga jawatan) dan sepuluh barisan Exco.
“Proses pemilihan ini akan berlangsung di Pejabat Kafa bermula pukul 10 pagi (6 Julai),” ujarnya.
Afandi berkata, pihaknya merakamkan terima kasih kepada Bibi Ramjani atas segala komitmen dan pengorbanan yang telah dicurahkan semasa menjadi presiden.
Setakat ini dua calon sudah menyatakan minat menawarkan diri sebagai Presiden Kafa iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan ushawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilihat berminat untuk menyertai saingan menduduki kerusi panas tersebut. – UTUSAN ONLINE











