JITRA – Syarikat pemaju hartanah, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) melancarkan projek perumahan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM45 juta di Bandar Darulaman, di sini.
Pengarah Eksekutif BDB Land, Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek berkata, kediaman di bawah projek Simfoni West itu merangkumi 75 unit rumah model Akustika berharga RM360,000 dan 28 unit model Duet II berharga RM472,000.
Menurutnya, kedua-dua model tersebut adalah bagi rumah jenis teres dua tingkat dan Semi-D satu tingkat yang mampu memenuhi permintaan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berkenaan dan Alor Setar.
“Sebanyak 12 daripada 28 unit model Duet II sudah ditempah orang ramai, manakala 49 peratus model Akustika atau 37 unit daripadanya turut ditempah pelanggan.
“Tempahan bagi projek-projek ini sudah bermula kira-kira dua bulan lalu dengan proses pembinaan akan bermula tidak lama lagi sebelum dijangka siap pada 2021,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan Rumah Terbuka Aidilfitri BDB Land di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pembangunan Perbandaran BDB Land, Zawawi Wahab.
Sementara itu, Tunku Fauzi berkata, BDB Land turut melancarkan program Cabutan Jubli yang menawarkan rebat istimewa antara RM3,500 hingga RM10,000 kepada pembeli bertuah sempena ulang tahun ke-35 perbandaran Bandar Darulaman.
“Sebanyak 10 orang pembeli bertuah berpeluang terpilih sebagai pemenang bagi kategori cabutan biasa dan masing-masing seorang bagi kategori cabutan istimewa serta cabutan utama.
“Untuk terpilih, mereka perlu terdiri daripada pembeli yang membuat tempahan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember ini dan pembelian akan dimuktamadkan dalam tempoh 12 minggu daripada tarikh tempahan,” katanya.
Dalam majlis sama, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani, Wan Nor Aniza Wan Hassan diumumkan sebagai pemenang bertuah bagi cabutan ketiga kempen Badaboom ‘Beli Rumah Idaman dan Bawa Pulang Kereta Baru’.
Wan Nor Aniza membawa peluang sebuah Perodua Alza bernilai lebih RM50,000 apabila dia membeli rumah Semi-D dua tingkat Sapphire di Darulaman Perdana, Sungai Petani dengan harga RM666,211 sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











