PH didakwa cenderung gagalkan mesyuarat UMNO bahagian - Utusan Malaysia

PH didakwa cenderung gagalkan mesyuarat UMNO bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 22 Jun – UMNO Perak mendakwa terdapat kecenderungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menggagalkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri ini yang sedang berlangsung.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya dihalang daripada mengguna atau menyewa dewan orang ramai, dewan serbaguna mahupun ‘arena square’ di semua tempat di negeri ini.

“Saya sudah beritahu kepada semua bahagian walau apa-apa pun halangan pastikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian berjaya walaupun terpaksa diadakan bawah khemah. Kita akan tunjukkan kepada Pakatan Harapan, apa pun yang mereka cuba, kami tidak akan gagal mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baru-baru ini ada 1,771 UMNO cawangan dihalang menggunakan dewan orang ramai tetapi mereka berjaya bersidang walaupun di rumah ketua cawangan, jadi Pakatan Harapan jangan mimpi boleh menggagalkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘Moh Ngopi bersama Datuk Saarani Mohamad’ anjuran UMNO Perak di Dataran Lembah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman dan Timbalannya, Mohamad Zuraimi Razali serta beberapa wakil dari Pas Kawasan Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Saarani berkata, tindakan menghalang UMNO daripada menyewa dewan-dewan di bawah majlis daerah dan majlis perbandaran itu hanya merugikan pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri.

Apatah lagi katanya, sekiranya pendapatan organisasi berkenaan merosot, kerajaan negeri juga yang terpaksa menanggung kerana perlu membuat pembayaran kepada mereka.

“Jadi kalau kerajaan negeri kena bayar kepada majlis (PBT), apa duit hendak buat bangunan? Tak ada, jadi, berniaga kena cerdik jangan bodoh.

“Saya hendak pakai Dewan Arena Lawin tidak boleh, Gerik hendak pakai dewan serbaguna pun tidak boleh, Parit Buntar nak pakai Dewan Merdeka pun tak boleh. Jangan ingat hendak menghancurkan UMNO kerana UMNO

takkan hancur,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini