Orang Asli Kuala Koh: Tiga kes baharu dilaporkan berlaku - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: Tiga kes baharu dilaporkan berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tiga kes terbaru gejala saluran pernafasan melibatkan Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dua kes terbaharu itu dikesan pada 20 Jun lalu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, kedua-duanya kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai.

“Manakala satu lagi kes dikesan pada 21 Jun (kelmarin) melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang dan ketiga-tiga mangsa ini berada dalam keadaan stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini menjadikan kumulatif kes dan sejak 3 Jun hingga 21 Jun, sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan telah dilaporkan berlaku,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia 2019 di Pusat Darah Negara, di sini hari ini.

Dzulkefly menambah, sebanyak 48 kes masih dirawat di hospital iaitu 46 kes di wad biasa dan dua kes lagi di Unit Rawatan Rapi di Hospital Kuala Krai.

“12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang, manakala 14 kes lagi ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.

“Satu kes terbaru turut disyaki jangkitan demam campak (measles) dilaporkan dari komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu menjadikan jumlah kes di kawasan itu meningkat kepada 13 kes dengan lapan daripadanya disahkan measles melalui ujian makmal,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, tiada kes terbaru dikesan di Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

Tambah beliau lagi, sebagai respons kepada gejala tersebut, pejabat kesihatan daerah yang berkaitan juga sedang menjalankan aktiviti imuniasi measles kepada komuniti di kawasan-kawasan terlibat dan lokaliti berhampiran dengan kerjasaman Jabatan Kemajuan Orang Asli dan tok batin di komuniti tersebut.

Sehingga 21 Jun, hanya tiga kes kematian yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan disahkan measles berdasarkan ujian makmal, manakala 12 mayat yang ditemui masih dalam proses bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini