TOSU, Jepun – Bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, Fernando Torres telah mengumumkan persaraannya semalam, sekali gus menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
Pada usia 35 tahun, bekas penyerang Atletico Madrid, Liverpool dan Chelsea itu mengakui sudah tiba masanya untuk dia mengikut jejak langkah rakan-rakan yang lain dengan mengundurkan diri daripada sukan tersebut sebagai pemain.
Torres yang beraksi untuk kelab Sagan Tosu dalam saingan Liga Jepun, membuat pengumuman tersebut menerusi laman media sosialnya selepas mengabdikan diri dalam sukan berkenaan selama 18 tahun.
“Saya ada sesuatu yang sangat penting untuk diberitahu kepada semua orang. Selepas 18 tahun yang cemerlang, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya tamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
“Ahad ini (esok) pada pukul 10 pagi (waktu tempatan), saya akan mengadakan satu sidang media khas di Tokyo bagi memberi penjelasan atas keputusan ini. Saya harap untuk jumpa anda semua di sana,” kata Torres.
Sebagai rekod, Torres memulakan karier bola sepaknya bersama Atletico sebelum berhijrah ke Liverpool dengan nilai perpindahan £20 juta (RM106 juta) pada 2007 dan berjaya meledak 81 gol dalam 142 perlawanan.
Kemudian, dia disambar Chelsea pada 2011 dengan rekod perpindahan Britain £50 juta (RM264 juta) sebelum membantu pasukan itu memenangi Liga Juara-Juara pada tahun berikutnya serta Liga Europa (2013). – Agensi











