MELAKA – Sekurang-kurangnya 30 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam As Syakirin Pasir Putih di Bachang di sini rosak dipercayai angkara perbuatan khianat malam tadi.
Selain dirosakkan, dua daripada kubur tersebut ditemukan dengan kesan terbakar kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Seorang penduduk kawasan itu, Nik Syukran Muiz Rashid, 35, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi kiriman WhatsApp rakan dan bergegas ke tempat kejadian untuk memeriksa keadaan kubur ahli keluarganya.
“Saya terkejut selepas apabila mendapati kubur ahli keluarga saya iaitu arwah datuk, nenek, bapa saudara dan sepupu yang terletak di bahagian depan tanah perkuburan telah dirosakkan.
“Sebuah lagi kubur ahli keluarga di kawasan belakang juga terdapat kesan terbakar,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang turut berada di lokasi berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan di tempat perkuburan. – UTUSAN ONLINE











