Skandal video seks, PKR Selangor paling terkesan - Utusan Malaysia

Skandal video seks, PKR Selangor paling terkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PKR mula mengambil alih Selangor pada 2008 dan sejak itu pengaruh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berakar umbi. Selangor menjadi kubu kuat Azmin, malah jauh mengatasi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, walaupun beliau ‘de facto’ kepada PKR sebelum bergelar Presiden.

Lebih-lebih lagi apabila Azmin sendiri berjaya meloloskan diri menjadi Menteri Besar Selangor, walaupun Anwar menggunakan seribu satu jalan untuk meletakkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di kerusi itu selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ‘digulingkan’.

Peluang itu digunakan sepenuhnya Azmin untuk menyebarluaskan pengaruhnya dalam parti dan ‘saham’ politiknya memuncak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu apabila di bawah kepimpinannya, pakatan hampir berjaya menyapu bersih Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, yang tersisa cuma lima kerusi (4 UMNO, 1 Pas).

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukti pengaruh Azmin juga terlihat jelas dalam pemilihan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikkannya.

Anwar melalui Wan Azizah ketika itu mahu Dr. Idris Ahmad, tetapi Azmin berjaya menyakinkan Istana Selangor bahawa calonnya adalah yang terbaik.

Kemuncaknya pada pemilihan PKR yang lalu. Meskipun disaing hebat Mohd. Rafizi Ramli yang mendapat restu Anwar, Azmin tetap menang selesa jawatan Timbalan Presiden parti. Bukan itu sahaja, pasukan Azmin juga menguasai Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Biro Politik dan ke semua sayap dalam PKR.

Di Selangor sendiri nama-nama seperti Zuraida Kamaruddin (Naib Presiden) ; Dr. Xavier Jayakumar (Naib Presiden); Amirudin; Muhammad Hilman Idham (Timbalan Ketua AMK); Haniza Mohamed Talha (Ketua Wanita) dan Dr. Daroyah Alwi (Timbalan Ketua Wanita) cukup sinonim dikaitkan sebagai ‘orang Azmin’.

Namun, sebaik sahaja tersebarnya video aksi seks sejenis Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip Azmin yang kemudiannya dinafikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, bukan sahaja PKR pusat bergolak tetapi negeri berdepan ‘badai’ serupa dengan Selangor yang dianggap kubu kuat Azmin paling terkesan.

Azmin dikatakan tidak lagi ‘solid’ di Selangor selepas episod video itu. Kecuali Zuraida dan Muhammad Hilman yang kekal teguh, beberapa pemimpin lain mula mengambil pendirian tunggu dan lihat kepada siapa sokongan mahu diarahkan demi menjaga kepentingan politik masing-masing walaupun mereka semua mengutuk politik jijik.

Ada juga yang mengambil jalan tengah agar kelihatan tidak memihak, selain ada kalangan pemimpin PKR yang pada pemilihan lalu dilabel kem Azmin lebih awal ‘angkat kaki’ sebelum video seks tersebar lagi.

Situasi tersebut mengundang retak kepada PKR Selangor, daripada solid kepada beberapa kumpulan dan memetik kata-kata dari sumber PKR sendiri, apa sahaja kemungkinan politik, sama ada di peringkat PKR pusat atau negara selepas ini, Selangor tersepit dan tidak mustahil membawa kepada perpecahan.

Kini, hanya masa bakal menentukan dan rasanya semua pihak khususnya PKR Selangor sendiri sudah boleh berkira-kira kerana masa tersebut dilihat tidak berapa lama lagi. Semoga apa juga kesudahan politik rentetan episod video seks sejenis, Selangor tetap maju bersama rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini