Sanchez bawa Chile ke suku akhir - Utusan Malaysia

Sanchez bawa Chile ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALVADOR, Brazil – Alexis Sanchez mengetepikan musim buruknya bersama Manchester United apabila membawa Chile mara ke suku akhir Copa America selepas mengalahkan Ecuador 2-1, hari ini.

Jose Fuenzalida meletakkan juara bertahan itu di depan seawal minit kelapan, namun Enner Valencia menyamakan kedudukan buat Ecuador menerusi sepakan penalti minit ke-26.

Sanchez bagaimanapun memastikan kemenangan Chile menerusi jaringannya yang ke-43 bersama skuad kebangsaan pada minit ke-51.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seminit sebelum tamat permainan, Ecuador terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Gabriel Achilier dilayangkan kad merah.

Sanchez, 30, hanya beraksi dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, selain menjaringkan satu gol selepas masalah kecederaan menyebabkan dia gagal memberi impak kepada United.

Bagaimanapun dia beraksi baik buat negaranya apabila meledak dua gol dalam dua perlawanan setakat ini.

Selepas tamat perlawanan dia mendedahkan terpaksa menahan sakit akibat kecederaan lama buku lali ketika beraksi pada babak pertama.

“Saya rasa kaki saya terseliuh, harap ia tidak terlalu serius. Pada babak pertama mereka membalutnya dan saya teruskan bermain dengan menahan sakit,” kata Sanchez.

Chile mengungguli Kumpulan C dengan enam mata selepas mengalahkan Jepun 4-0 dalam aksi pembukaan, sekali gus bakal berdepan juara 15 kali, Uruguay, Isnin depan.

Chile turun memburu kejuaraan hatrik Copa America selepas mengalahkan Argentina dalam dua final terakhir. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini