KUANTAN – Sistem pendidikan luar seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak akan mampu membawa perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Wakil Pas Pulau Pinang, Mohd. Farhan Yusri berkata, jika merujuk falsafah pendidikan kebangsaan diberi penekanan dengan jelas berhubung aspek perpaduan.
“Jadi adakah UEC diperlukan? Tambahan apabila hendak melaksanakan UEC langsung tidak ada perbincangan membabitkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Tetapi, apabila hendak bincang tentang kajian sistem pendidikan Islam dibuka pula kepada kaum lain untuk memberikan komen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Mohd. Farhan berkata, UEC tidak perlu dilaksanakan kerana tidak menjamin ke arah mewujudkan perpaduan. – UTUSAN ONLINE











