ARAU – Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-45 yang berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra di sini bukan sahaja bertujuan mencari pemenang, sebaliknya membawa misi pencarian dan penyebaran ilmu serta pengalaman untuk para peserta.
Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah Syiar Islam Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Noriah Haron berkata, program yang bermula pada 21 sehingga 24 Jun depan itu juga menjadi platform terbaik untuk para peserta terus mendalami al-Quran.
Katanya, para peserta perlu menjadikan pengalaman menyertai MTQSS sebagai salah satu landasan untuk terus belajar al-Quran serta memahami isi kandungan, ilmu mengenai keterampilan dan keyakinan diri.
Berita berkaitan:
“Para peserta yang merupakan juara di peringkat negeri masing-masing bukan sahaja memikul amanah untuk memenangi anugerah utama, tetapi turut berperanan menambah ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama apabila pulang ke negeri masing-masing.
“Harapan kita juga agar peserta dapat mencontohi alumni MTQSS tahun sebelum-sebelum ini yang berupaya menjadikan lapangan pertandingan itu untuk menjadi insan yang cemerlang pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MTQSS Peringkat Kebangsaan Kali Ke-45 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra di sini, semalam.
Kira-kira 400 peserta peringkat sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara menyertai pertandingan yang melibatkan enam kategori itu.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah tilawah al-Quran serta hafazan peringkat sekolah rendah dan menengah; bercerita kisah dari al-Quran dan syarahan agama secara spontan.
Sementara itu, Noriah mengucapkan tahniah kepada penganjur yang membuat persiapan cukup baik sempena program berkenaan.- UTUSAN ONLINE











