Harumanis harta intelek, tidak boleh diguna sewenang-wenangnya - Utusan Malaysia

Harumanis harta intelek, tidak boleh diguna sewenang-wenangnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Kerajaan negeri sepatutnya melindungi jenama harumanis Perlis yang sudah menjadi ikon di negeri ini dan negara sebagai satu harta intelek yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail berkata, jenama harumanis adalah milik ekslusif kerajaan Perlis setelah pendaftaran buah itu diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2011 sehingga 2021.

Menurut beliau, langkah menghalang mana-mana pihak menggunakan nama harumanis tanpa kebenaran itu adalah bertujuan untuk melindungi jenama tersebut yang telah sekian lama dibangun dan dipromosikan oleh kerajaan Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya difahamkan di Kedah, terdapat lebih 700 tan buah mempelam dikeluarkan baru-baru ini yang menggunakan nama harumanis dan logo sebuah agensi kerajaan, tetapi kita tidak pasti sama ada buah itu adalah harumanis asli.

“Kita bimbang sekiranya buah dihasilkan (di Kedah) tersebut tidak menepati ciri-ciri harumanis asli, sudah tentulah ia akan menjejaskan jenama yang kita (kerajaan Perlis) jaga dan pelihara selama ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syed Razlan seterusnya menambah, sepatutnya mana-mana pihak yang berhasrat untuk menanam harumanis merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri ini supaya pokok ditanam benar-benar asli dan menepati klon asal iaitu MA128.

“Klon asal MA128 inilah yang kerajaan negeri Perlis bangunkan sebagai harumanis yang mempunyai ciri-ciri harum dan manis sejak sekian lama.

“Bayangkan kalau kita tidak jaga, jenama yang kita bangunkan ini sehingga terkenal di luar negara, akan rosak,” katanya.

Sebelum ini, mempelam harumanis secara rasmi disahkan sebagai hak milik eksklusif kerajaan Perlis setelah pendaftaran jenama itu diluluskan oleh MyIPO.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Keselamatan Sempadan Negeri (ketika itu), Ahmad Bakri Ali, kelulusan itu bermakna pihak lain tidak boleh menggunakan jenama tersebut untuk produk mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini