KUANTAN – Pas perlu memastikan sejarah wujudnya golongan ‘penebuk kapal’ dalam jemaah parti berkenaan seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
Wakil Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, langkah itu penting dalam usaha memastikan kejayaan penyatuan ummah yang kini digagaskan antara Pas dan UMNO yang cuba digagalkan golongan itu.
“Penting untuk kita (Pas) menjaga jemaah sedia ada ini kerana kesatuan dan penyatuan yang hendak kita bina di luar sana mesti bermula dengan kesatuan dari jemaah ini.
“Kita tidak mahu ada golongan-golongan dalam jemaah ini yang mahu bertindak menggagalkan penyatuan ummah ini,” katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Ahmad berkata, perpaduan ummah itu bukan dilakukan kerana UMNO hilang kuasa atau Pas tidak mendapat kuasa.
“Tetapi penyatuan ini berlaku sebagai tindak balas setelah Pas dan UMNO melihat Islam kini berada dalam keadaan bahaya.
“Jika hendak kuasa, UMNO tidak akan mencari Pas, lebih baik mencari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP yang merupakan abang besar dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya. – UTUSAN ONLINE











