Polis tahan tujuh GRO ketika sedang leka layan pelanggan - Utusan Malaysia

Polis tahan tujuh GRO ketika sedang leka layan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Seramai tujuh wanita warganegara asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di USJ 21/10 di sini malam tadi.

Dalam serbuan yang bermula pada pukul 11.30 malam itu, polis turut menahan dua lelaki Bangladesh yang menjadi pekerja am serta seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis. Kesemuanya berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Superintendan Azmi Syukor berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan premis tersebut berdasarkan risikan awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelanggan perlu membayar bayaran bermula RM50 untuk mendapatkan khidmat layanan GRO.

“Gadis-gadis ini mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 hingga RM400 sehari dengan melayan pelanggan minum dan berkaraoke,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan malam tadi.
 
Kesemua GRO yang ditahan terdiri daripada lima warga Filipina dan dua warga Thailand. 

Azmi menambah, premis itu mempunyai lesen perniagaan yang sah tetapi menggunakan khidmat warga asing tanpa permit untuk bekerja sebagai GRO.

“Mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial yang ada untuk bekerja di sana.

“Premis ini juga pernah diserbu pada bulan April lalu dan ia ditutup sementara sebelum beroperasi semula dengan kegiatan yang sama,” ujarnya.

Beliau berkata, pusat hiburan itu beroperasi bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

“Tiada sebarang perkhidmatan seks ditawarkan kerana mereka tiada bilik tetapi kita percaya ada pelanggan yang bawa gadis ke tempat lain selain premis untuk perkara itu.

“Kita juga telah periksa 30 pelanggan yang berada di premis tetapi tiada tangkapan,” katanya.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana  menyalah gunakan pas lawatan sosial. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini