RUANG legar Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur mula dibanjiri wajah-wajah penuh keterujaan seawal pukul 7 malam. Masing-masing menunggu dengan sabar untuk melihat panggung berprestij tersebut bersimbah cahaya epik pementasan broadway yang disifatkan paling agung di dunia dan semestinya paling ditunggu-tunggu peminat tempatan iaitu The Phantom Of The Opera.
Sesuatu yang jarang menjadi amalan penonton teater tanah air untuk lengkap bersut hitam bagi lelaki dan wanita pula berbusana seolah-olah menghadiri sebuah majlis formal, hadirin keraian ‘pentas opera’ tersebut juga bagai ke sebuah masquerade party berserta sekuntum mawar merah sebagai simbolik pementasan.
Selepas 32 tahun debut di lantai Her Majesty’s Theatre, London pada 9 Oktober 1986 dan berjaya dipentaskan sebanyak lebih 13,000 kali, buat julung kalinya, teater yang memegang rekod broadway paling lama bertahan dalam dunia tersebut akhirnya singgah di Malaysia.
Kejayaan tersebut merupakan sebuah usaha yang membanggakan buat produksi teater berkenaan selepas beberapa kali mencuba membawa jenamanya ke Malaysia. Luahan tersebut dikongsikan penolong pengarahnya, Rainer Fried ketika diwawancara Kosmo! beberapa jam sebelum The Phantom Of The Opera menyelak tirai persembahan.
“Lama kami menunggu untuk masuk ke Malaysia. Akhirnya impian itu menjadi nyata. Sejujurnya, selepas beberapa persembahan sejak bermula pada 15 Jun, kami sangat jatuh cinta dengan penonton di sini,” kata Rainer.
Kekangan 30 tahun
Disuakan pertanyaan tentang alasan sebegitu lama diambil sehingga lebih 30 tahun untuk tiba ke Malaysia, jawab lelaki berkaca mata itu: “Set produksi sebelum ini mempunyai keperluan teknikal yang berbeza. Ada panggung teater dalam dunia ini yang tidak memenuhi keperluan itu.
“Bagaimanapun, selepas melakukan penambahbaikan dan melakukan rekaan semula set, teater ini dapat diperluaskan ke banyak negara lain dan terkini, Malaysia. Kami terpesona dengan kehebatan Istana Budaya.
“Apa pun cabaran terutama dari segi teknikal, kami yakin dan berharap dapat melakukan yang terbaik di sini. Setakat ini, sangat mengagumkan.”
Tambahnya, produksi memperuntukkan masa tiga hari untuk mempersiapkan set produksi sebanyak 17 buah kontena di Istana Budaya. Set tersebut dibawa dari lokasi persembahan sebelumnya, Singapura.
Sementara itu, pengarah muzik, David Andrew Rogers berkata, tidak banyak perubahan dari segi susunan muzik untuk persembahan di Kuala Lumpur.
“Apa yang anda dengar di London atau New York, itu yang dapat dilihat di Kuala Lumpur. Tiada apa yang perlu diubah kerana muzik teater ini sudah agung seadanya.
“Kata orang, jangan baiki sesuatu perkara kalau tidak rosak. Persembahan teater ini semuanya secara langsung dan anda perlu menonton untuk merasai kehebatannya,” ujar David.
Perkongsian selanjutnya tentang muzikal nukilan asal penulis, Gaston Leroux itu sempat dirakam Kosmo! daripada tiga pelakon utamanya iaitu Jonathan Roxmouth yang memainkan peranan sebagai The Phantom, Meghan Picerno (Christine) dan Matt Leisy (Raoul).
Buat Jonathan, peluang melakonkan watak ikonik The Phantom merupakan perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya sebagai penggiat teater.
“Saya tidak memerlukan motivasi untuk melakukan watak Phantom kerana bukan semua orang bertuah untuk melakonkan karakter ini. Di pentas teater, ini adalah peranan paling menyeronokkan pernah saya jayakan.
“Tambahan pula, bekerja dengan kru produksi dan para pelakon yang berkelas dunia. Kadang-kadang, saya merasakan tidak mahu meninggalkan pentas (ketawa),” katanya yang mengelak makan selepas pukul 8 malam agar tidak mengalami pedih ulu hati.
Menurut Jonathan, cuaca panas di Kuala Lumpur juga tidak menjadi masalah untuk memberikan persembahan sehabis baik sebagai The Phantom. Bahkan katanya, perkara itu memberi kelebihan kepada setiap pelakon.
Komunikasi
Aktres yang menjayakan peranan Christine, Meghan berkata, ketika di atas pentas, perkara paling penting buatnya bukan sahaja komunikasi dengan lebih 100 pelakon tetapi juga audiens.
“Komunikasi dengan pelakon dan audiens adalah perkara paling penting dan sangat saya hargai.
“Berpeluang berkomunikasi dengan manusia berlainan budaya, latar belakang, agama dan bahasa adalah satu perkara yang magis.
“Biarpun tidak bertutur dalam bahasa yang sama dan dipisahkan perbezaan lain, interaksi tetap berlangsung. Itu sangat hebat tentang kuasa seni teater,” katanya seraya menidakkan pendapat segelintir penonton menyatakan watak wanita dalam pementasan tersebut terlalu lemah.
Tegasnya, Christine membuktikan wanita sepertinya sama seperti manusia lain yang tidak boleh lari daripada sifat semula jadi seorang manusia.
“Golongan wanita zaman dahulu sangat berbeza dengan sekarang. Ketika ini, wanita telah diberikan banyak peluang untuk terlibat dengan pelbagai perkara sama seperti kaum lelaki. Sudah tahun 2019, banyak yang berubah,” tuturnya.
Matt yang diberi kepercayaan memegang watak Raoul pula mendedahkan, untuk melunaskan karakter berkenaan banyak perkara terpaksa dikorbankan.
“Paling penting adalah penjagaan vokal. Kami tidak menyanyi seperti biasa sebaliknya menggunakan teknik soprano dan nuansa sebuah pementasan opera. Perlu banyak minum air dan minuman bervitamin.
“Kami menjalani latihan sejak lebih lima bulan lalu. Untuk persembahan di Kuala Lumpur, perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini,” katanya yang menerima tawaran watak Raoul sejak lebih setahun lalu.
Mengagumkan
Sejak lebih tiga dekad lalu, bermacam-macam pelakon sudah menjayakan watak Raoul dan buat dirinya, dia hanya mengambil pendekatan menjadi diri sendiri namun tidak lari daripada keperibadian Raoul.
“Saya banyak menonton persembahan broadway dan banyak kali menonton versi filem.
“Saya lakukan apa yang termampu. Jika dilakukan dengan jujur dan ikhlas, pasti penonton akan menikmati persembahan saya.
Berkesempatan menonton pementasan muzikal berkenaan pada malam 18 Jun lalu, apa yang penulis boleh simpulkan adalah, peluang tersebut merupakan pengalaman paling berharga dan mengagumkan.
Siapa sangka, pernah mengikuti pembelajaran novel dengan judul sama ketika tingkatan dua sekitar 13 tahun telah membuatkan penulis terkesima dek kemegahan karya ‘berhantu’ tersebut.
Dari segi rekaan set, susunan muzik, kostum dan penglibatan pelakon, semuanya tersusun cantik, cermat dan cemerlang.
Sesekali terfikir, persinggahan produksi sedemikian di Istana Budaya membuktikan betapa banyak produksi berkelas dunia sudah mempercayai dengan kemampuan Malaysia menjadi tuan rumah apa sahaja pementasan teater selepas ini.
Disokong kecanggihan aset teknikal, kemampuan Istana Budaya memenuhi keperluan persembahan berskala dunia seperti The Phantom Of The Opera cukup membanggakan.
Pendek kata, sesiapa pun mudah terbuai dengan terjemahan lakonan opera dengan untaian lagu epik seperti All I Ask Of You, The Music Of The Night, Think Of Me dan banyak lagi menerusi The Phantom Of The Opera. Syabas!
The Phantom Of The Opera mula dipentaskan di Panggung Sari. Istana Budaya bermula 15 Jun sehingga 7 Julai depan. Tiket harga bermula RM200 boleh didapati melalui TicketCharge.











