KUALA LANGAT – Tempoh reman terhadap seorang pelajar tingkatan lima yang menikam guru kaunselingnya dalam kejadian di sebuah sekolah berasrama di Sungai Manggis, di sini, Ahad lalu yang berakhir hari ini, disambung empat hari lagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Telok Datok, Banting bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Katanya, polis juga masih menunggu laporan psikiatri dan perubatan dari Hospital Banting dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Selain itu, mangsa yang juga penolong warden asrama juga telah dibenarkan keluar daripada HTAR semalam selepas keadaannya menunjukkan perkembangan positif.
“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang guru kaunseling parah selepas ditikam sebanyak tiga kali oleh seorang pelajar tingkatan lima yang berdendam dengannya dalam kejadian di sebuah sekolah berasrama di Banting di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 8.20 malam itu mengakibatkan Muhammad Hasnan Salim, 33, cedera pada bahunya akibat ditikam dengan sebilah pisau. – K! ONLINE











