Dua ditahan, sembilan kotak arak dirampas dalam operasi bersepadu - Utusan Malaysia

Dua ditahan, sembilan kotak arak dirampas dalam operasi bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Dua lelaki ditahan manakala sembilan kotak minuman beralkohol pelbagai jenis dirampas dalam operasi ke atas premis menjual minuman keras di daerah ini susulan dua kes kematian akibat keracunan metanol baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, operasi bersepadu itu bagi mengesan dua jenama arak disyaki mengandungi racun metanol yang meragut dua nyawa manakala tiga lagi sedang dirawat di hospital.

“Dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun itu ditahan manakala sembilan kotak minuman beralkohol berharga RM1,610 dirampas dari sebuah kedai di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan yang belum diluluskan kastam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Premis itu turut dikompaun oleh Pejabat Kesihatan Port Dickson atas kesalahan peraturan 11 (1) (j) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu kesalahan label,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, operasi yang dijalankan di sekitar Lukut dan Chuah bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pukul 6 petang melibatkan pemeriksaan ke atas 10 buah premis.

Katanya, seramai 46 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Jabatan Kesihatan daerah, Majlis Perbandaran Port Dickson, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyertai operasi itu.

Semalam, seorang wanita K. Rathika, 26, dari Serting, Jempol meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson akibat keracunan metanol.

Pada Isnin lalu, seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun turut meninggal dunia selepas dipercayai meminum arak beracun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini