Dr. Mahathir tekad tidak biarkan Malaysia dalam berantakan - Utusan Malaysia

Dr. Mahathir tekad tidak biarkan Malaysia dalam berantakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri apabila tiba masanya nanti.

Pemimpin berumur 93 tahun itu berkata, memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepemimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan, seperti yang dilakukan oleh kepemimpinan sebelum ini. Jadi saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi (dari kerajaan sebelum ini),” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian dalam satu sesi program ‘The Future of Malaysia and ASEAN’ di Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN Bloomberg ke-5 di Bangkok hari ini, yang dihoskan oleh ketua koresponden antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin.

Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir berkata, beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepemimpinan negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada Anwar sudah bersedia untuk memikul jawatan itu, Dr Mahathir berkata: “Ia bukan soal sama ada beliau sudah bersedia atau tidak. Saya sudah berjanji, dan saya akan berpegang teguh kepada janji saya.”

Dr. Mahathir turut menyentuh soal kabinetnya, dengan berkata tidak ada sebarang rombakan jawatan setakat ini, dan beliau akan berbuat demikian hanya sekiranya ada keperluan.

Menjelaskan pendiriannya berhubung perkara itu beliau berkata: “Apabila anda merombak kabinet, ia akan mengakibatkan kebanyakan orang merasa tersinggung, dan mereka mungkin bertindak balas dengan cara yang menjejaskan hubungan baik.

“Saya tidak suka mengenepikan orang, dan meletakkan muka baharu. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini, dan saya tidak akan buat begitu sekarang,” jelasnya.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, kabinetnya bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan.

“Di kebanyakan negara selepas berlaku perubahan kerajaan, akan ada mereka yang dibuang, dan ada yang baru dimasukkan. Semua itu berlaku di negara-negara lain, tapi di Malaysia kita tidak suka kerap kali sangat bertukar menteri,” ujarnya.

Ditanya impiannya buat generasi muda Malaysia, Perdana Menteri menyuarakan harapannya agar mereka akan lebih peka dengan pembangunan negara.

“Mereka perlu menyayangi negara, dan sanggup bersama membina Malaysia untuki menjadi sebuah negara maju,” katanya. -BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini