SAUDARA PENGARANG,
MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) merafak sembah dan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat kesatuan serta kerjasama yang kukuh di kalangan jabatan atau agensi agama dalam usaha menepis segala permintaan berkaitan hak asasi manusia yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.
Titah semasa Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur, kelmarin, perlulah dihayati sepenuh segenap lapisan masyarakat.
MPM berpendirian bahawa titah itu amat tepat pada masanya dan menggambarkan kewibawaan Seri Paduka serta institusi Raja-raja Melayu yang senantiasa prihatin serta mengikut dengan rapat perkembangan serta cabaran yang didepani institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan Islam dan masyarakat umum.
MPM telah sebelum ini beberapa kali melahirkan rasa gusar kami mengenai gerakan berterusan beberapa pihak tidak bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu merubah landskap keamanan dan kestabilan negara melalui cara mengganggu-gugat asas-asas Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, MPM menyeru agar semua pihak menghayati titah Seri Paduka dalam memastikan kepatuhan serta ketaatan terhadap peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Sebarang gerakan atau usaha mempertahan serta mempromosi hak asasi manusia hendaklah bersandarkan pada asas-asas penting negara ini yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini khususnya mengenai kedudukan Islam menerusi Perkara 3(1), Kebebasan Asasi yang terkandung dalam Bahagian II ataupun peruntukan yang menyentuh dasar kewarganegaraan berdasarkan kontrak sosial melalui Bahagian III, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi Perkara 152, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sebagai penduduk pribumi serta kepentingan sah masyarakat lain mengikut Perkara 153 dan kedaulatan serta bidang kuasa Raja-raja Melayu mengikut Perkara 181.
MPM yakin bahawa pendirian baginda yang mewakili keprihatinan Raja-raja Melayu secara ijmak penting dalam menjamin kemakmuran dan kestabilan negara. Atas sebab yang demikian maka MPM telah secara konsisten mempertahankan institusi Raja-raja Melayu yang sangat relevan dan berperanan pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan tanah air.
Sebagai contoh, MPM telah bersama-sama anggota kerabatnya memimpin gerakan menghapuskan usaha mansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan menyembah maklum memorandum bantahan kepada pramesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 17 Jun 2014.
Inisiatif tersebut yang telah diketuai para penasihat kanan MPM iaitu Tun Mohamed Hanif Omar dan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ternyata telah didengari amat baik Raja-raja Melayu dan baginda kesemuanya telah bersepakat menzahirkan kebijaksanaan dengan menolak usaha memansuhkan akta tersebut.
Ternyata kegusaran Seri Paduka mengenai percubaan menekan jabatan dan agensi Islam untuk menerima tuntutan hak asasi manusia tanpa batas telah berlangsung semenjak sekian lama.
Dalam hal ini, MPM menyeru agar rakyat bersatu-padu di bawah naungan Seri Paduka dan menolak sebarang usaha NGO-NGO liberal atau mana-mana pihak yang sering berkeras ingin melaksanakan tuntutan hak asasi manusia beracuan Barat yang tidak semuanya sesuai dengan agama Islam dan adat budaya masyarakat Malaysia.
Tuntutan hak asasi manusia hendaklah bersesuaian dengan Islam, kehendak Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai adat budaya kita.
MPM sekali lagi menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda dan akan sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda dalam menjalankan amanah selaku ketua agama Islam dan negara yang dicintai ini.
DATUK DR. HASAN MAD
Setiausaha Agung MPM











