ALOR SETAR – Kedah membayangkan pertemuan menentang Felda United dalam separuh akhir pertama Piala FA malam esok bakal berlangsung sengit dan sukar jika pemain gagal menguasai perlawanan di gelanggang sendiri di Stadium Darul Aman, di sini.
Justeru, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak menuntut kesebelasan utama pasukan supaya tidak mengambil mudah dan memberi tumpuan sepeuh sepanjang perlawanan serta bermain dengan semangat berpasukan bagi mengelak kejutan di laman sendiri.
Menurutnya, skuad ‘The Fighters’ mempunyai kemampuan untuk bangkit jika ketinggalan gol serta mampu melakukan serangan balas, sendainya diberi ruang melakukan gerakan di kawasan kubu Kedah.
“Pemain tidak boleh banyak buat kesilapan kerana Felda United ada kemampuan untuk bangkit jika ketinggalan yang boleh mengundang padah jika kita lalai,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun, percaya anak buahnya mampu mempamerkan permainan yang tersusun dan bertenaga selepas mendapat suntikan moral dan semangat hasil kemenangan ke atas PKNS FC dalam saingan Liga Super, Selasa lalu.
Aidil Sharin berkata, kebanyakan pemain juga dapat diturunkan semula selepas pulih daripada kecederaan sekali gus turut memberikan kelegaan kepada pasukan.
“Saya harap pemain dapat menunjukkan prestasi sebenar kerana kita bermain di laman sendiri dan gunalah kelebihan yang ada untuk mendapat bekalan selesa untuk dibawa bagi separuh akhir kedua nanti,” katanya. – BERNAMA











