Main dalam liga elit sahaja - Utusan Malaysia

Main dalam liga elit sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah bersedia melepaskan sebahagian pemain skuad Malaysian Tigress yang mendapat tawaran untuk beraksi dalam beberapa liga di benua Eropah.

Beliau bagaimanapun menegaskan pemain berkenaan hanya dibenarkan beraksi dalam liga kompetitif seperti di England, Jerman, Sepanyol dan Belgium bagi memastikan mereka dapat mencapai prestasi terbaik sekiranya dipanggil untuk tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Misalnya, katanya, penjaga gol, Farah Ayuni Yahya akan beraksi dengan kelab Liga England manakala Wan Norfaiezah Md Saiuti dan Hanis Nadiah Onn mendapat tawaran untuk beraksi dengan kelab Liga Jerman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bukan ingin merendahkan liga-liga lain terutamanya Liga Itali, namun kebanyakan pemain Itali itu sendiri turut beraksi dalam liga negara lain yang menyajikan saingan lebih kompetitif,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pakar flick negara, Nuraini Abdul Rashid dilaporkan telah dirisik pasukan kelompok empat teratas Liga England, East Grindstead dan kelab lamanya, Butterfly Roma HC dari Itali manakala Farah Ayuni yang mendapat tawaran untuk terus beraksi bersama East Grindstead HC.

Muhammad Dharmaraj berkata, beliau akan memanggil kembali pemain berkenaan jika Malaysia layak ke pusingan kelayakan terakhir FIH ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijangka diadakan pada Oktober atau November nanti.

Malaysia perlu menunggu beberapa kejohanan yang sedang berlangsung ketika ini termasuk pusingan kedua dan ketiga Siri Akhir Wanita di Jepun dan Sepanyol, selain Kejohanan Eropah pada Ogos ini sebelum mengetahui nasib mereka ke pusingan kelayakan terakhir Olimpik menerusi ranking terbaharu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang akan dikeluarkan pada September ini.

Skuad Malaysian Tigress menamatkan saingan di tempat ketiga pada pusingan pertama Siri Akhir Wanita di Banbridge, Ireland Utara, minggu lalu, sekali gus terlepas dua tiket automatik ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Berdasarkan format kelayakan Sukan Olimpik 2020, hanya juara setiap kejohanan benua seperti Sukan Asia dan Kejohanan Eropah, layak secara automatik ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

Baki tujuh slot lagi akan diisi 14 pasukan yang akan bersaing dalam pusingan akhir Olimpik.

Jepun layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 selaku tuan rumah. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini