JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad menempelak tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat permohonan lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hasni berkata, permohonan yang dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) tidak wajar memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah.
“Ia jelas satu langkah yang tidak wajar kerana kes itu masih dalam perbicaraan malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga belum didapati bersalah.
“Jadi, kenapa mereka perlu terburu-buru mengambil tindakan untuk melucut hak harta itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hasni berkata, sekiranya semua itu sudah dibuktikan tidak betul, maka pihak berkenaan boleh mengambil tindakan sewajarnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hari ini berkata, permohonan tersebut melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.
SPRM dilaporkan mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE











