Kejayaan berganda Dr. Nur Amalina - Utusan Malaysia

Kejayaan berganda Dr. Nur Amalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejayaan doktor pakar pelatih surgikal, Dr. Nur Amalina Che Bakri dan pasukannya mela­kukan pembedahan membuang ketumbuhan pada mulut Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap Germ Cell Tumour di sebuah hospital di London baru-baru ini mendapat pujian banyak pihak.

Nur Amalina yang me­mu­lakan inisiatif membawa Ainul Mardhiah bayi berusia sembilan bulan dan ibu bapanya ke London dan bertarung nyawa selama lima jam dalam dewan bedah, sebelum tumor seberat 200 gram berjaya dibuang daripada mulut bayi itu.

Nur Amalina, mencipta sejarah negara sekali lagi atas kejayaannya melakukan pembedahan itu buat pertama kalinya.

Memuatkan artikel berkaitan…
RUANGAN Rencana di akhbar Mingguan Malaysia memuat tajuk “TV, Internet teman Amalina” bertarikh 13 M
RUANGAN Rencana di akhbar Mingguan Malaysia memuat tajuk “TV, Internet teman Amalina” bertarikh 13 Mac 2005. 

“Alhamdulillah, Ainul, awak seorang bayi yang kuat! Anda tidak dapat bayangkan betapa cemasnya saya, ketika berada di dewan bedah. Bayi kecil itu, begitu lembut, cantik – jangan bimbang, semua orang ada di sini untuk membantu anda,” ka­tanya menerusi akaun Instagramnya.

Instagram Dr. Nur Amalina mendapat lebih 200,000 tanda suka dan lebih 12,000 komen selepas pembedahan bayi sembilan bulan itu dijalankan.

Terdahulu, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 24, melalui status Instastory di laman Instagramnya meluahkan rasa syukur apabila urusan ra­watan dan pembedahan anaknya yang berusia sembilan bulan itu berjalan lancar.

Mengimbau kembali saat-saat kejayaan Nur Ama­lina pada tahun 2004 pasti meng­undang kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia apabila beliau diumumkan pelajar cemerlang cemerlang yang mendapat 17 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor Bharu.

Nur Amalina berjaya mendapat A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Teras, Pendidikan Seni, Tasawuf Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan.

Kejayaan cemerlang Nur Amalina itu turut mendapat perkenan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah untuk menyampaikan hadiah sebuah komputer di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Turut berkenan hadir, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pengarah Pelajaran Johor ketika itu, Jailani Rusni, ibunya, Sabariah Hassan serta bapa tirinya, Tukiman Kalam.

Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 13 Mac 2005 bertajuk ‘TV, Internet teman Amalina’ melaporkan, Nur Amalina me­ngakui caranya belajar agak berbeza dengan orang lain.

Anggapan yang mengatakan membiarkan anak-anak belajar sambil menonton televisyen akan menyebabkan mereka leka dan mengabaikan pelajaran atau konsentrasi terganggu mungkin boleh dianggap tidak benar kini.

Ini kerana kegemaran pelajar cemerlang, Nur Amalina adalah mengulang kaji pelajaran di hadapan televisyen sambil menonton program televisyen yang diminati.

Amalan ini dilakukan oleh Nur Amalina sejak di bangku sekolah rendah lagi dan ini merupakan rahsia beliau dalam mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam setiap peperiksaan tahunan sejak darjah satu hingga tingkatan lima.

“Saya sememangnya mempunyai cita-cita tinggi dan menganggap program realiti televisyen merupakan satu ins­pirasi bagi saya. Keazaman dan kesungguhan para peserta siri realiti televisyen untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan memberikan saya kekuatan untuk mencapai yang terbaik,” jelasnya.

Laporan itu memetik, setelah penat mengulang kaji pelajaran, tambah Nur Amalina, beliau akan melayari internet untuk menambahkan pengetahuan am mengenai pelbagai perkara terutamanya isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.

“Saya gemar chatting dengan rakan-rakan pelajar di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat dan England. Saya gemar bertukar-tukar pandangan dengan mereka dan berbual mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan aktiviti pelajar,” jelasnya.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar sakit puan menganggap Pakar Sakit Tuan dan Kesihatan Reproduktif Lelaki dan Wanita, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi sebagai idolanya

“Selain itu saya turut me­ngagumi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berjaya menjadi pemimpin disegani.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad pula merupakan contoh seorang doktor perubatan yang berjaya dan serba boleh,” kata Nur Amalina lagi.

Ditanya perasaannya apabila secara tiba-tiba menjadi perhatian ramai selepas keputusan SPM 2004 diumumkan, pada mulanya beliau berasa terkejut dengan tumpuan diberikan.

“Sebagai seorang lepasan sekolah, saya akui pengalaman ini merupakan sesuatu yang luar biasa bagi saya. Bagaimanapun, semua ini bukanlah alasan untuk saya berasa riak atau sombong dengan segala pujian dan perhatian yang diberikan,’’ tambahnya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini